Suratul Baqarah ayat 67-74
67. Dan(ingatlah), ketika nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata :"Adakah kamu mahu menjadikan kami bahan ejekan?". Nabi Musa menjawab : " Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang daripada orang-orang yang jahil".
68. Mereka menjawab :" Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami tentang apakah lembu betina itu".Nabi Musa menjawab :"Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina yang tidak tua dan tidak pula muda iaitu pertengahan antara itu, maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu".
69. Mereka berkata: " Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apakah warnanya". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang bunting yang kuning, yang kuning tua warnanya lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya".
70. Mereka berkata : Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina kerana sesungguhnya lembu itu(masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami Insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu).
71. Nabi Musa berkata :" Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi air, tidak cacat, tidak berbelang". Mereka berkata : "Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya". Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu".
72. Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan.
73. Lalu Kami berfirman:"Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!". Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.
74. Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal dicelah batu-batu itu memang ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan dicelahnya memang ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan dicelahnya memang ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lupa daripada apa yang kamu kerjakan.
Pembunuhan.....kesusahan....
Pada zaman nabi Musa telah berlaku satu jenayah pembunuhan dalam kalangan bani Israel. Pembunuh tidak diketahui dan masing-masing mempertahankan diri daripada mengaku salah dalam masalah pembunuhan ini. Ini menyebabkan mereka saling menuduh antara satu sama lain dalam masalah ini. Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka telah menemui nabi Musa. Nabi Musa telah memohon kepada Allah agar Dia membuka rahsia tentang pembunuhnya yang sebenar. Allah telah mewahyukan kepada nabi Musa supaya memerintah kepada bani Israel untuk menyembelih seekor lembu betina tetapi Dia tidak menerangkan secara jelas mengenai keadaan dan sifat sebenar lembu tersebut. Sekiranya mereka menerima penerangan mengenai lembu itu secara terperinci kemungkinan besar mereka akan terus melaksanakannya.
Tetapi memang telah menjadi sikap dan sifat yahudin iaitu sentiasa mencanggah dan mahu lari daripada tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah. Mereka telah bertanya kepada nabi Musa tentang umur lembu betina itu. Nabi Musa menjelaskan bahawa lembu itu tidak tua iaitu pertengahan antara keduanya. Kemudian mereka bertanya pula tentang warnanya dan nabi Musa memberitahu mereka bahawa lembu itu berwarna kekuningan iaitu kuning tua yang menyejukkan mata memandang.
Mereka terus bertanya mengenai pekerjaan lembu itu dan nabi Musa terus menyatakan bahawa lembu itu amat disayangi oleh tuannya, tidak pernah digunakan untuk membajak tanah mahu pun mengairi air. Akhirnya setelah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan ole nabi Musa barulah mereka melaksanakan apa yang telah disuruh walau pun pada mulanya mereka hampir tidak ingin melaksanakannya.
Kemudian nabi Musa menyuruh mereka supaya memukul tubuh mayat lelaki yang dibunuh itu dengan sebahagian daripada lembu betina yang disembelih tadi. Mereka melaksanakannya dan tiba-tiba dengan kuasa Allah mayat tadi hidup apabila ditiupkan oleh Allah ruh. Mayat yang dihidupkan semula oleh Allah itu terus menerangkan mengenai pembunuhnya yang sebenar. Setelah menerangkan segala-galanya maka dia dimatikan semula oleh Allah. Golongan bani Israel yang menyaksikan peristiwa ini merasa begitu takjub dan kehairanan. Begitulah antara kuasa Allah yang Maha Berkuasa di dalam membuat sesuatu walau pun ia berkaitan dengan perkara yang pelik.
Tawakal....kesenangan
Al-Syeikh Sya’rawi melalui tafsirnya menyatakan bahawa di sana terdapat seorang lelaki Bani Israel yang salih yang mencari rezeki yang halal dengan penuh keimanan. Ketika hampir menemui ajalnya, beliau hanya memiliki seekor anak lembu betina sedangkan beliau mempunyai isteri dan anak yang masih kecil. Apa yang patut dilakukan dengan hanya memiliki anak lembu betina.
Akhirnya beliau menghadap Allah seraya berdoa, “Ya Allah, aku simpankan anak lembu betina ini kepadamu untuk anak kecilku ini.” Kemudian dilepaskan anak lembu tersebut ke sebuah ladang tanpa mewasiatkan kepada seseorang pun kecuali menyerah kepada Allah. Apabila anak tersebut besar, kata ibunya, “Ayahmu dahulu pernah meninggalkan pada kamu simpanan di sisi Allah, iaitu anak lembu betina.” Lantas ditanya di mana mungkin didapatinya. Jawab ibunya, “Jadilah seperti ayahmu yang bertawakkal untuk simpan kepada Allah. Begitulah kamu bertawakal untuk minta kepada Allah.”
Selepas anak tersebut berdoa, tiba-tiba datang lembu tersebut, diambilnya untuk ditunjuk kepada ibunya. Ketika berjalan, kaum Bani Israel melihatnya seraya berkata, “Inilah lembu yang kita cari yang dituntut oleh Tuhan.” Mereka menawarkan dengan tiga dinar. Jawab si anak yang salih ini, “Saya perlu bertanya ibu dahulu.” Mereka merasa bimbang lantas menawarkan pula dengan enam dinar. Jawab ibu tersebut, “Ia tidak dijual.” Akhirnya, selepas ditawar, lantas berkatalah anak itu, “Saya tidak akan menjualnya kecuali dipenuhi pada belulangnya dengan emas.” Mereka terpaksa melaksanakan kehendak anak tersebut.
Allah adalah sebaik-baik pentadbir...dia yang menyusun tiap-tiap suatu perjalanan hidup...pemberi nikmat juga hakim yang adil....kisah ini adalah merupakan iktibar kepada manusia yakin kepada kekuasaan Allah s.w.t....
Source : Al-Quran Nur Qarim, Qishasyul Anbiya
Source : Al-Quran Nur Qarim, Qishasyul Anbiya
No comments:
Post a Comment